GAMBARAN KESELURUHAN DI LADANG
Pengeluar lembu dan biri-biri Australia diiktiraf di seluruh dunia kerana teknik penternakan haiwan dan pengurusan ladang mereka. Industri ternakan Australia berbangga dengan cara kami menggunakan genetik di barisan hadapan kemajuan teknologi dalam kecekapan pengeluaran ternakan. Para peladang Australia juga sangat progresif dalam bidang pertanian dan penambahbaikan padang rumput ternak serta pengurusan air. Industri kami sebahagian besarnya dibina oleh pengeluar yang dimiliki keluarga yang komited untuk menghasilkan daging lembu dan biri-biri bertaraf dunia. Kami fokus kepada piawaian keselamatan makanan yang paling tinggi, dengan kebolehkesanan dan sistem jaminan kualiti sepanjang rantaian bekalan.
DAGING LEMBU AUSTRALIA
Australia mengeluarkan 3% daripada daging lembu dunia dan merupakan pengeksport daging lembu ketiga terbesar di dunia. Walaupun daging lembu dihasilkan di setiap negeri dan wilayah di Australia, hampir 50% daripada kawanan kebangsaannya terletak di Queensland, dengan kebanyakan lembu Australia ditempatkan di tanah dan stesen berasaskan padang rumput ternak.
Industri daging lembu Australia secara umumnya dikelompokkan kepada kawasan pengeluaran utara dan selatan. Sistem pengeluaran Utara mempunyai sebilangan kecil tanah luas dengan jumlah lembu yang banyak. Baka lembu yang dominan adalah Bos Indicus (misalnya Brahman) atau Bos Indicus silang (contohnya Droughtmaster), yang lebih sesuai dengan keadaan persekitaran yang kasar. Sebaliknya, sistem pengeluaran Selatan mempunyai sejumlah besar tanah kecil dengan jumlah lembu yang sedikit. Baka lembu yang dominan adalah Bos Taurus (misalnya Angus atau Hereford), yang lebih sesuai dengan keadaan persekitaran yang lebih sederhana.
BOS INDICUS
Baka lembu Bos Indicus berasal dari Asia dan secara semula jadinya sesuai dengan kawasan tropika yang lembap seperti Australia Utara. Bulunya yang licin dan pendek serta bahan kimia peluh yang terhasil secara semulajadi menghalau kutu lembu dan parasit lain. Beberapa jenis baka Bos Indicus juga menghasilkan semulajadi bahan kimia pada ekor mereka yang digunakan sebagai penghalau serangga mereka sendiri ketika mereka memukul lalat.
Lembu Bos Indicus secara umumnya mempunyai rangka yang lebih besar dan kaki yang lebih panjang, yang membolehkan mereka meliputi kawasan yang besar dan jarang dengan mudah untuk mencari makanan dan air. Mereka juga secara semulajadi adalah pencari makanan, yang menjadikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kekeringan yang teruk.
Lembu daripada baka Bos Indicus dapat dibezakan dengan bonggol yang melintang antara bahu di atas belakang mereka, mirip dengan unta. Di sinilah lemak disimpan untuk menghadapi masa yang sukar. Mereka juga mempunyai telinga yang besar dan terkelepai serta gelambir (kulit kendur di hadapan brisket mereka) yang dapat membantu lembu menyejukkan badan.
Baka biasa termasuklah Brahman, Droughtmaster, Santa Gertrudis, Brangus (kacuk silang antara Angus dan Brahman) dan juga Braford (kacuk silang antara Hereford dan Brahman).
BOS TAURUS
Lembu Bos Taurus berasal dari Eropah dan seringkali dirujuk sebagai ‘Baka British’. Mereka lebih sukakan iklim yang sederhana dan banyak didapati di daerah Selatan Australia. Mereka mempunyai bulu yang lebih tebal untuk menghadapi musim sejuk dan tidak mempunyai 'bonggol' yang ketara seperti saudara Bos Indicus mereka.
Dengan rangka yang lebih kecil, mereka matang lebih cepat dan mengeluarkan otot besar lebih pantas daripada sepupu Bos Indicus mereka. Boleh dikatakan baka Bos Taurus yang paling terkenal adalah Angus yang berasal dari Scotland. Angus mempunyai kebolehan menyesuaikan diri dan genetik kualiti yang luar biasa dan kerap digunakan untuk menguatkan baka-baka lain melalui kacuk silang.
Baka biasa termasuklah Angus, Hereford, Shorthorn, Charolais, Simmental dan Murray Grey.
WAGYU
Wagyu adalah baka lembu Jepun yang berasal daripada lembu Asia asli – 'Wa' bermakna Orang Jepun dan 'gyu' bermakna lembu. Walaupun berasal dariAsia, mereka sebenarnya diklasifikasikan sebagai Bos Taurus.
Wagyu telah digunakan selama berabad-abad di Jepun sebagai haiwan penarik yang bekerja keras, dipilih kerana ketahanan fizikal mereka – sejumlah besar sel-sel lemak intramuskular mereka menjadi sumber tenaga yang tersedia.
Kini Australia mempunyai kawanan Wagyu terbesar di luar Jepun walaupun 80-90% pengeluaran domestiknya dieksport. Secara tradisi, wagyu diternak di padang rumput ternak dan kemudian menghabiskan sejumlah besar masanya di fidlot berteknologi tinggi – antara setahun sehinggalah 600 hari; oleh itu pengeluaran wagyu adalah proses yang lebih lama berbanding daging lembu yang diberi makan rumput atau bijian.
Wagyu tidak dapat ditandingi kemarmarannya, yang menjadikannya daging lembu yang lembut, berjus dan kaya dengan tekstur serta perisa. Wagyu cenderung mempunyai komposisi lemak yang lebih lembut dan tekstur daging yang lebih halus berbanding daging lembu lain.
DAGING BIRI-BIRI AUSTRALIA
Australia merupakan pengeksport daging biri-biri terbesar dunia dan pengeluar kedua terbesar 'lamb' dan 'mutton'.
Di Australia, biri-biri diternak dalam pelbagai iklim, dari bahagian gersang dan separa gersang di kawasan pedalaman hingga ke kawasan yang mempunyai kadar hujan yang tinggi di New South Wales, Victoria, Australia Selatan, Tasmania dan penjuru barat daya Australia Barat.
Semua biri-biri Australia diternak di padang rumput ternak dan sebahagian besarnya juga ditamatkan di padang rumput. Sebilangan kecil penternak kambing (sekitar 5%) menamatkan biri-biri mereka dengan bijian untuk mengoptimumkan pembesaran.
DAGING KAMBING AUSTRALIA
Di Australia, pengeluaran kambing secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori utama – padang gembala dan diternak.
Padang gembala pada asasnya berkaitan dengan haiwan yang tidak dibela atau liar yang biasanya ditangkap setiap tahun manakala diternak bermaksud haiwan dijaga dalam cara yang sama dengan biri-biri dan lembu Australia.
Kambing padang gembala (juga dipanggil kambing tidak dibela, kambing belukar atau liar) ialah campuran baka-baka kambing yang telah bersesuaian untuk hidup di padang gembala Australia yang kurang mendapat hujan dan seringkali gersang. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah pengeluar yang semakin meningkat telah membela jinak kambing-kambing dalam persekitaran padang gembala yang luas dan menguruskan mereka sebagai satu komponen perniagaan mereka yang stabil bersama-sama dengan biri-biri dan lembu. Kambing padang gembala merupakan sumber produk utama bagi industri daging kambing Australia.
Kambing ternak secara umumnya dihasilkan di kawasan pertanian Australia yang lebih produktif dan mendapat hujan yang lebih banyak. Disebabkan persekitarannya dan saiz kawanan yang lebih kecil, mereka dijaga dengan amalan penternakan yang lebih intensif berbanding kambing yang dihasilkan di padang gembala dan diuruskan sama seperti biri-biri atau lembu domestik.
Secara tradisinya ia adalah produk sampingan dari industri serat dan kemudian daging kambing ternak di Australia mula meningkat dengan pengenalan baka Boer Afrika Selatan pada tahun 1994. Sifat mereka yang kuat dan berdaya tahan membolehkan kawanan dibiakkan khusus untuk daging. Diusahakan di Afrika Selatan sejak awal 1900, kambing Boer dipilih untuk kualiti daging mereka, bukannya susu atau bulu. Sebagai hasil penternakan yang tertumpu, kambing Boer mempunyai kadar pembesaran yang cepat dan bongkah otot yang pejal, menjadikannya salah satu baka yang paling popular di dunia yang diternak untuk dagingnya. Kambing Boer yang berdaya tahan ini dikacukkan dengan kawanan domestik Australia untuk menghasilkan kambing yang sesuai untuk hidup dalam keadaan Australia yang gersang serta dapat memberikan lebih hasil daging.
Melalui kacukan baka ini, daging kambing Australia kini semakin berkurangan daripada menjadi komoditi bermusim dan lebih mudah didapati sepanjang tahun.
DAGING ANAK LEMBU AUSTRALIA
Tradisi pembiakan daging anak lembu dan penyediaan daging anak lembu berbeza dari negara ke negara. Daging anak lembu di Australia berbeza dari di Eropah dan Amerika.
Di Australia, kami tidak mengeluarkan 'daging anak lembu putih', iaitu anak lembu yang berusia kira-kira 18 - 20 minggu yang hanya diberi minum susu, dengan pergerakan dan pendedahan kepada cahaya matahari dihadkan. Australia mempunyai kod yang ketat tentang amalan kebajikan haiwan, yang memastikan haiwan diternak dalam kumpulan kecil di kawasan terbuka dan diberikan diet susu dan rumput atau bijirin.