KETAHUI TENTANG KELESTARIAN DALAM INDUSTRI DAGING MERAH AUSTRALIA
Bagi pengeluar daging lembu, biri-biri dan kambing Australia, penjagaan haiwan dan persekitaran menjadi teras kepada apa yang kami lakukan. Memandangkan begitu banyak ternakan kami dibiarkan hidup di padang rumput ternak dan padang rumput semula jadi, penjagaan tanah adalah amat penting. Penjagaan tersebut bermula dari padok hinggalah ia dihidangkan ke dalam pinggan, dengan generasi penternak Australia terus berusaha untuk mengurangkan kesan kepada planet kita pada setiap peringkat proses tersebut.
Bagi industri daging merah Australia, menjadi lestari bermakna menjaga ternakan, tanah dan alam sekitar, memberi kembali kepada masyarakat setempat dan memastikan perladangan berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial. Pengeluar biri-biri dan lembu Australia diiktiraf di seluruh dunia kerana teknik penternakan haiwan dan pengurusan ladang mereka. Kami bangga berada di barisan hadapan kemajuan teknologi dan sangat progresif dalam bidang-bidang utama kelestarian - alam sekitar, kebajikan haiwan, ekonomi dan sosial. Tumpuan kelestarian alam sekitar kami merangkumi bidang utama termasuk pengurangan pelepasan, penggunaan air dan pengurusan tanah. Ini bukan sahaja penting untuk alam sekitar, tetapi juga untuk menghasilkan daging lembu dan biri-biri yang berkhasiat dan berkualiti tinggi.
ALAM SEKITAR
Penternak lembu dan biri-biri di Australia komited untuk menghasilkan daging lembu dan biri-biri secara lestari. Sebagai pengawas kepada hampir separuh daratan Australia, kami bekerja keras untuk meninggalkan ladang, perairan, tumbuh-tumbuhan dan tanah dalam keadaan yang lebih baik bagi generasi akan datang.
Melalui levi industri, penternak lembu dan biri-biri melabur lebih daripada $13 juta setiap tahun dalam penyelidikan, pembangunan dan projek lanjutan untuk terus mengurangkan impak alam sekitar industri. Setiap hari, penternak Australia melakukan perkara-perkara mudah untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar mereka, sama ada dengan memasang panel solar, memagar empangan untuk meningkatkan biodiversiti atau menggunakan strategi yang berbeza untuk meningkatkan kesuburan tanah dan penutup bumi. Kehidupan penternak bergantung kepada persekitaran yang sihat dan penternak Australia maklum tentang hal ini. Untuk mengetahui lebih lanjut, klik di sini.
KEBAJIKAN HAIWAN
Kelestarian bukan sahaja tentang alam sekitar, ia juga berkaitan dengan kebajikan haiwan yang baik. Kebajikan haiwan yang baik adalah keperluan undang-undang di Australia, dan kekejaman terhadap haiwan merupakan satu kesalahan jenayah. Dalam menternak, membiakkan, mengangkut dan menyembelih haiwan, kesejahteraan dan kesihatan haiwan menjadi keprihatinan utama para peladang Australia. Oleh itu, penyelidikan, pembangunan, inovasi dan usaha yang banyak dicurahkan bagi memelihara standard kebajikan haiwan yang tinggi di sepanjang rantaian bekalan.
Baca di bawah untuk mengetahui lebih lagi tentang kebajikan sewaktu pengangkutan, di ladang, di fidlot dan di sektor pemprosesan.
Industri daging lembu Australia menetapkan satu standard baru yang jelas bagi kelestarian
Di tengah-tengah perdebatan tentang impak alam sekitar akibat pengeluaran daging lembu, Australia mengambil tindakan - dengan industri daging merah Australia baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030.